panorama palestin


Kembali Mengenang Mangsa Serangan Israel Ke Atas Gaza

Saya sudahpun berada di Gaza sebelum serangan maut dilancarkan selama lapan hari oleh Israel pada November 2012. Setelah meninggalkannya, mereka-mereka yang telah saya temubual dan rakamkan dalam gambar sepanjang minggu yang dahsyat itu kekal berlegar di fikiran saya.

Saya telah beberapa kali melawat Jamal ad-Dalu, yang kehilangan sepuluh orang ahli keluarga dalam serangan udara Israel ke atas rumah mereka. Kami berdiri bersama-sama apabila tubuh anaknya ditarik keluar dari runtuhan, empat hari selepas pengeboman. Jamal kemudiannya mengulangi kisahnya kepada para wartawan dan pelbagai organisasi yang menemubualnya, dan saya tertanya-tanya bagaimana dia mampu berbuat demikian dengan penuh kesabaran dan kebaikan.

Saya juga sering terfikir tentang Nour Hijazi, yang mana bapa serta dua orang adiknya terbunuh, dan yang mengalami kecederaan serius akibat terkena serpihan besi di bahagian belakangnya. Saya masih ingat bagaimana dia berbaring di atas katil, jelas dalam kesakitan yang amat sangat, namun masih mampu untuk tersenyum semasa ditemuduga. Saya sangat terharu dengan kemanisan sifatnya biarpun dihimpit malapetaka sedemikian berat.

Saya juga tidak mampu berhenti dari memikirkan tentang Jamal Salman. Saya berada di sebuah hospital di utara Gaza beberapa minit selepas dia dibawa masuk. Matanya terbuka dan kaku, dan dia dalam keadaan berlumuran darah. Kakitangan hospital bergegas membawanya masuk ke dalam. Saya hanya mempunyai masa untuk mencatatkan namanya dan dari mana dia berasal. Ketika saya meninggalkan hospital tersebut, seorang wanita yang tidak lama kemudiannya dikhabarkan kepada saya adalah isteri Jamal telah ditarik keluar dari sebuah ambulans, diikuti oleh segerombolan saudara-maranya yang menangis serta menjerit kesedihan. Beliau meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.

Ketika kembali ke Gaza, saya bertekad untuk melawat Jamal ad-Dalu, Nour Hijazi dan Jamal Salman sekali lagi. Saya berharap saya akan menemui mereka dalam keadaan yang segar bugar dan berdiri teguh.

Setelah mereka yang mati disemadikan, debu dan abu tidak lagi berterbangan di udara dan para jurugambar telah berlalu pergi, apakah yang bakal berlaku terhadap keluarga-keluarga ini? Ianya hanyalah sebuah ilusi jika kita anggapkan yang segalanya telah kembali seperti sediakala, tatkala media arus perdana tidak lagi berminat untuk mengambil tahu tentang Gaza. Mereka yang terselamat tetap tabah menghadapi kepayahan hidup dan meneruskan kehidupan mereka tanpa menoleh ke belakang, namun hidup mereka akan terjejas buat sepanjang hayat, dengan sedikit harapan untuk mendapatkan keadilan atau penebusan, manakala seluruh generasi mereka membesar dalam keadaan takut dibom lagi.

Gambar & Catatan: Anne Paq
 |  
 |