aman palestin


berita terkini palestin


Wanita Muda Palestin Disiksa Teruk Oleh Tentera Israel

Imej


29 November 2010 - Gaza - Tahanan perempuan Palestin, Sumoud Karrajeh, 22, berkata yang dia diserang dengan keras oleh pasukan keselamtan Israel dari unit penjara Nahshon, hingga menyebabkannya mengalami kecederaan serius, sewaktu dipindahkan dari penjara ke mahkamah tentera awal bulan ini.

Karrajeh memberitahu sebuah pertubuhan hak asasi manusia yang dia dipindahkan oleh pihak tentera Nahshon pada 8 November dari penjara Damon ke penjara Ramle bagi menghadiri mahkamah tentera Ofer untuk diadili, tetapi sewaktu proses perpindahan ini dijalankan beberapa orang askar, lelaki dan wanita, telah merampas barangan miliknya dan mahu memeriksa seluruh badannya dalam keadaan berbogel.

Dia menambah yang ketika dia enggan membenarkan badannya diperiksa, askar-askar serta pengawal penjara wanita berkenaan mulai memukul seluruh tubuhnya dengan keras dan menariknya untuk bangun dengan menggunakan gari ditangannya berulang-kali hingga menyebabkan dia merasa sakit yang amat sangat dan mengalami kecederaan berat di beberapa bahagian badannya, sambil menambah yang mereka terus melakukan sedemikian itu sehingga dia hampir pengsan.

Wanita muda itu menyatakan yang salah seorang anggota tentera tersebut, yang bernama "Sahar", menarik kain penutup dari kepalanya, memperketatkan cengkaman di lehernya, memukul dan menolaknya dengan kasar ke lantai, meludah padanya dan menyeretnya dengan gari.

Tahanan itu menambah, selepas serangan secara fizikal ini, dia dikurung di dalam sebuah kurungan kecil yang kotor serta dipenuhi dengan lipas dan dia telah berjaga sepanjang malam akibat ketakutan dan mengalami kesakitan dalam keadaan berbaring di atas lantai tanpa kain selimut atau tilam.

Dalam konteks ini, Jawatankuasa Tinggi Nasional bagi Membantu Tahanan mengutuk keras serangan fizikal ke atas Karrajeh itu, sambil berkata yang tindakan itu membuktikan berlakunya kekerasan serta kekejaman tentera Israel terhadap tahanan Palestin.

Jawatankuasa ini menekankan bahawa pihak berkuasa pendudukan Israel melayan tahanan perempuan dengan kekerasan tanpa menghormati hak privasi mereka, sambil menambah yang insiden ini bukanlah yang pertama dalam kategori ini, di mana ramai wanita Palestin di penjara-penjara Israel dipukul dan disiksa sepertimana yang telah berlaku sebelum ini ke atas tahanan yang bernama Abeer Odeh di penjara Ramle.

Ia menyatakan yang unit penjara Israel serta pengawalnya sering melakukan serangan terhadap tahanan perempuan, tetapi beberapa insiden tersebut telah dilaporkan oleh pihak media.

Sumber: PI   |   Terjemahan: Ibn Abu (Admin)
arkib  |   kongsi  |   kongsi  |