artikel penuh


Baitul Maqdis Adalah Sejarah & Masa Depan Ummah

 
Baitul Maqdis adalah terlalu suci buat umat Islam. Ia merupakan salah satu daripada tiga tempat yang paling suci dalam Islam. Baitul Maqdis digelar Al-Quds Ash-Sharif (Tempat Yang Suci).

Dalam usaha untuk memahami kesucian Bandar ini, seseorang itu perlu memahami struktur iman di dalam Islam.

Terdapat tiga prinsip asas:
  • Percaya bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah (Tauhid).

  • Percaya bahawa petunjuk Ilahi disampaikan menerusi rasul-rasul dan nabi-nabiNya yang terpilih (Risalah).

  • Percaya bahawa wujudnya kehidupan selepas mati (akhirat), Hari pembalasan dan Syurga serta Neraka.

Prinsip yang kedua mempunyai hubungan langsung dengan kecintaan dan komitmen kita terhadap Baitul Maqdis.

Kedudukan Baitul Maqdis dalam Aqidah Islam

Islam mengiktiraf semua rasul dan utusan Allah swt. Nama-nama mereka banyak disebut di dalam Al-Quran. Kisah dan ajaran yang mereka bawa diceritakan di dalam kitab suci umat Islam ini. Menurut ajaran Islam, Ibrahim (Abraham), Musa (Moses), Dawud (David), Sulayman (Solomon), Zakariyah (Zachariah), Yahya (John the Baptist) dan Isa (Jesus) - alaihissalam (a.s) - adalah di antara nabi-nabi dan utusan yang dimuliakan Allah swt.

Yahudi dan Kristian juga mengiktiraf Nabi Dawud a.s dan Nabi Sulayman a.s sebagai raja dan pemimpin yang hebat di zaman Israel kuno.

Di dalam Islam, kedua-dua orang nabi ini adalah utusan yang dimuliakan oleh Allah untuk membawa risalahNya. Al-Quran bukan sahaja mencerikatan kisah-kisah mereka tetapi juga menjaga maruah mereka dengan menghapuskan beberapa penghinaan dan kecaman yang dibuat oleh umat terdahulu terhadap mereka.

Nabi Dawud a.s dituduh melakukan zina di dalam kitab Injil (2 Samuel: 11-12) dan Nabi Sulayman a.s dituduh melakukan penyembahan berhala (1 King: 11). Al-Quran menangkis semua dakwaan yang dikenakan terhadap kedua-duanya. (Al-Qasas: 21-25; Saad: 30). Ini menunjukkan bahawa Nabi Dawud a.s dan Nabi Sulayman a.s lebih dihormati di dalam Islam berbanding tradisi masyarakat Yahudi dan Kristian. Memandangkan bandar Baitul Maqdis dikaitkan oleh sejarah dengan nabi-nabi yang diutus oleh Allah swt, maka ia secara tabi'inya turut menjadi bandar yang suci buat umat Islam. Islam menganggap ianya sebagai penerusan kepada iman dan etika yang sama seperti yang diasaskan oleh nabi-nabi terdahulu. Menurut prinsip sejarah dan teologi, Islam merupakan pewaris sebenar kepada tradisi nabi-nabi dan utusan Allah swt yang terdahulu. Atas alasan inilah, Al-Quran membuat seruan untuk Palestin - tanah yang dikaitkan dengan kehidupan ramai nabi-nabi - "Al-Ard Al-Muqaddasah" (Tanah yang Suci) (Al-Ma'idah:21) dan menggelarkan sekitarnya sebagai "Barakna Hawlaha" (Yang Diberkati Sekitarnya) (Al-Israa':1).

Kesucian Bandar Baitul Maqdis menurut Islam adalah pada realiti sejarah keagamaannya. Bandar ini menjadi saksi kepada kehidupan dan kerja-kerja para nabi serta utusan Allah swt. Di situlah turunnya wahyu Allah swt secara berulang-ulang. Nabi-nabi dan utusan-utusan Allah yang agung tinggal dan berpindah ke lembah-lembah serta jalan-jalannya. Mekah dan Madinah merupakan bandar-bandar yang diberkati di dalam Islam kerana kaitannya dengan Nabi Ibrahim a.s, Nabi Ismail a.s dan Nabi Muhammad s.a.w. Bagitu juga dengan Baitul Maqdis yang diberkati dan penting di dalam Islam kerana kaitannya dengan nabi-nabi lain seperti Nabi Dawud a.s, Nabi Sulayman a.s dan Nabi Isa a.s.

Yahudi dan Kristian tidak mengiktiraf Nabi Ismail a.s dan Nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi dan rasul, maka mereka tidak menganggap Mekah dan Madinah sebagai bandar-bandar yang suci. Bagaimanapun, Islam mengiktiraf Nabi Musa a.s, Nabi Dawud a.s, Nabi Sulayman a.s dan Nabi Isa a.s, maka mereka harus mengiktiraf kesucian dan kepentingan Baitul Maqdis di dalam Islam.





Baitul Maqdis di Dalam Kehidupan Nabi Muhammad s.a.w

Berdasarkan kepada status agama dan teologi, Baitul Maqdis menduduki tempat yang sangat istimewa di dalam kehidupan Nabi Muhammad s.a.w sendiri. Pada tahun 620M, kira-kira satu setengah tahun sebelum Baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah, satu peristiwa Al-Israa' dan Al-Mi'raj (perjalanan malam dan diangkat ke langit) telah berlaku. Pada suatu malam, dengan cara yang menakjubkan, Rasulullah s.a.w telah melakukan perjalanan yang penuh keajaiban dari Mekah ke Baitul Maqdis dan diangkat ke langit pada malam yang sama.

Perjalanan malam ini merupakan satu keajaiban yang agung yang dipercayai oleh setiap umat Islam bahawa ianya merupakan satu penghormatan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan mengesahkan hubungan aqidah antara Mekah dan Baitul Maqdis. Kedua-dua peristiwa ini berlaku pada malam yang sama. Malaikat Jibril (Gabriel) mengiringi Nabi Muhammad s.a.w dari Mekah ke Baitul Maqdis. Diceritakan juga bahawa Nabi s.a.w berdiri di atas Batu Suci (As-Sakhrah Al-Musharrafah), naik ke langit, kembali ke Baitul Maqdis dan bertemu dengan ramai nabi-nabi serta rasul-rasul terdahulu yang berhimpun untuk Baginda sempena peristiwa tersebut. Rasulullah s.a.w seterusnya mengimamkan solat mereka.

Selepas melalui semua peristiwa ini, Nabi Muhammad s.a.w kembali ke Mekah. Peristiwa Al-Israa' dan Al-Mi'raj penuh dengan tanda-tanda dan petunjuk yang menakjubkan. Para pemikir Islam, pengkaji mistik dan penyair-penyair telah membuat pelbagai tafsiran secara mendalam dan berbeza-beza. Bagaimanapun, terdapat satu kesimpulan penting dan ia menjadi satu contoh kepada ketaatan dan hubungan iman setiap Muslim dengan Baitul Maqdis.

Semasa Al-Mi'raj, Rasulullah s.a.w telah menerima perintah Allah swt untuk melaksanakan solat sebanyak lima kali sehari semalam di mana setiap Muslim wajib menunaikannya. Setelah kepulangan Baginda ke Mekah, Rasulullah s.a.w telah menyampaikan perintah Allah swt supaya memfardukan solat. Penting untuk kita ketahui bahawa Baginda s.a.w telah menjadikan Baitul Maqdis sebagai Kiblat yang mana setiap Muslim perlu menghadap ke arahnya semasa mengerjakan solat. Justeru, Baitul Maqdis dikenali sebagai 'Ula Al-Qiblatain (Yang Pertama Antara Dua Kiblat).

Nabi Muhammad s.a.w dan umat terawal yang memeluk Islam telah berkiblatkan Baitul Maqdis semasa solat ketika mereka berada di Mekah. Selepas peristiwa Hijrah, masyarakat Islam di Madinah juga turut mengadap ke Baitul Maqdis ketika solat selama kira-kira 17 bulan. Kemudian, barulah turun perintah Allah swt supaya menukar arah kiblat dari Baitul Maqdis ke Mekah (Al-Baqarah: 142-150). Para mufassirin Islam dan pengkaji sejarah telah menjelaskan makna dan tujuan perubahan ini. Ia merupakan suatu subjek yang panjang dan tidak mampu untuk dibincangkan di sini. Cukup sekadar mengatakan bahawa peralihan Kiblat ini sama sekali tidak menghapuskan kedudukan Baitul Maqdis di dalam Islam. Kaabah di Mekah merupakan Kiblat sejak awal kerana Al-Quran menyebut bahawa ia adalah Rumah Pertama (Awwal Baiti) (Ali-Imran: 96) yang dibina untuk manusia menyembah Tuhan Yang Satu.

Walau bagaimanapun, Kaabah dipenuhi dengan patung-patung sejak mula Nabi Muhammad s.a.w memulakan dakwahnya agar umat manusia menyembah Allah swt, Tuhan Yang Satu. Perbezaan telah ditunjukkan antara penyembahan orang beriman dan kaum musyrik terhadap apa yang mereka sembah di Kaabah. Baitul Maqdis menepati matlamat tersebut untuk mengasingkan umat ketika itu dari sembahan-sembahan berhala mereka.

Apabila prinsip ketuhanan yang satu telah ditegakkan sepenuhnya di dalam hati dan jiwa kaum muslimin dan apabila kedudukan Kaabah dengan Nabi Ibrahim a.s telah jelas, barulah Kaabah dipilih semula sebagai Kiblat semasa solat.

Terdapat banyak contoh mengenai perubahan-perubahan (naskh) di dalam Syariat Islam. Salah satunya adalah pengharaman ziarah kubur di awal kenabian Rasulullah s.a.w. Bagaimanapun, ia dihalalkan tidak lama selepas itu apabila kaum muslimin sudah dapat membezakan mengenai ziarah kubur dan amalan sembahan tradisi nenek moyang mereka. Pada awalnya, Nabi Muhammad s.a.w juga melarang pengikutnya daripada menulis perkataan-perkataan Baginda melainkan apabila Baginda menyatakan bahawa ianya adalah wahyu - Al-Quran, dari Allah swt. Kemudian, apabila pengikut baginda sudah belajar mengenai perbezaan di antara Al-Quran dan Hadis (perkataan dan perbuatan Nabi Muhammad s.a.w), Baginda telah mengizinkan umatnya menulis Hadis. Menarik untuk ditekankan di sini bahawa Kaabah di Mekah adalah arah awal untuk solat bagi semua nabi yang diturunkan oleh Allah swt.

Menurut satu Hadis, Batu Hitam (Al-Hajar Al-Aswad) telah berada di tapak Kaabah sejak zaman Nabi Adam a.s lagi. Kemudian Allah memerintahkan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s untuk membina Kaabah (Al-Baqarah: 125-127).

Bandar Baitul Maqdis telah dibina sebagai pusat penyebaran agama untuk penduduk Israel oleh Nabi Dawud a.s dan Nabi Sulayman a.s kira-kira pada tahun 900 sebelum Masihi.

Ia lebih kurang 1000 tahun selepas zaman Nabi Ibrahim a.s dan pembinaan Kaabah. Justeru, seseorang itu boleh mengatakan bahawa Kaabah mempunyai sejarah yang lebih panjang daripada Baitul Maqdis. Tambahan pula, penting untuk kita ketahui bahawa Injil mengatakan masyarakat Israel awal yang tinggal di Baitul Maqdis telah mengadap ke Selatan apabila menunaikan solat paling suci mereka (Exodus: 40). Kaabah terletak di Selatan Baitul Maqdis. Maka, boleh dikatakan bahawa Kaabah juga telah menjadi kiblat bagi penduduk Israel yang awal.

Baitul Maqdis Dalam Sejarah Awal Islam

Baitul Maqdis berada di bawah pemerintahan Islam semasa zaman Khalifah Umar (semoga Allah merahmatinya), dalam tahun 638 Masihi. Ia merupakan penaklukan yang aman. Pemerintah dan Paderi Besar Baitul Maqdis ketika itu yang bernama Sophronius telah menyerahkan kunci Baitul Maqdis kepada Khalifah Umar dengan tangannya. Semasa memasuki Bandar itu, Khalifah Umar bertanya di manakah kedudukan Baitul Maqdis dan batu yang dimuliakan yang telah dipijak oleh Rasulullah s.a.w sebelum Al-Mi'raj.

Ia merupakan kawasan yang terpencil pada ketika itu. Askar-askar Rom telah memusnahkan apa yang disebut Kuil Kedua pada tahun 70 Masihi. Pemerintah bukan Kristian atau Kristian di situ tidak pernah cuba untuk membinanya semula.

Menurut sejarah, ia merupakan tempat pembuangan sampah dan tempat pembuangan najis haiwan bagi penduduk Baitul Maqdis. Sebaik sahaja Khalifah Umar mengetahui bahawa itu merupakan tapak Baitul Maqdis dan tempat berlakunya Al-Mi'raj, beliau telah membersihkannya dengan tangan beliau sendiri sebelum melakukan solat dan sujud di atas tanah.

Pada tahun 691 Masihi, Kubah Baru dan masjid lainnya dibina. Ia merupakan monumen suci pertama yang paling mahal dan paling besar dibina dalam sejarah Islam.

Baitul Maqdis sentiasa di dalam ingatan masyarakat Muslim. Rasulullah s.a.w bersabda, "Janganlah kamu bersusah payah bermusafir (dengan tujuan beribadat) melainkan ke tiga masjid; Masjid Al-Haram di Mekah, masjidku di Madinah dan Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis." Berdasarkan hadis ini, masyarakat Islam menganggap bahawa ia merupakan satu kebaikan untuk melawat Bandar Baitul Maqdis, masjidnya, kesuciannya dan persekitarannya yang diberkati. Jemaah haji seringkali menziarahi Baitul Maqdis sebelum pergi menunaikan haji di Mekah dan Madinah.

Pemimpin-pemimpin Islam membina banyak hospital, sekolah dan pusat keagamaan di sekitar Bandar tersebut. Mereka membeli tanah di dalam dan sekitar Baitul Maqdis untuk dijadikan tanah wakaf bagi tujuan keagamaan. Hakikatnya, keseluruhan Bandar Baitul Maqdis adalah tanah wakaf dan tidak boleh dijual atau dipindah milik.

Ramai juga ulama Islam yang berpindah dan tinggal di sana. Masjid Al-Aqsa merupakan tempat yang ideal untuk belajar. Beribu-ribu orang yang beriman dan ulama' berwasiat agar jenazah mereka kelak dikebumikan di Baitul Maqdis. Terdapat beribu-ribu atau mungkin berjuta kubur umat Islam di Baitul Maqdis. Umat Islam juga mengiktiraf hak masyarakat Kristian dan Yahudi yang meletakkan Baitul Maqdis di hati mereka dan menjadikannya suci dalam keimanan mereka. Semasa pemerintahan Islam, mereka dibenarkan untuk tinggal di sana. Semasa Khalifah Umar membuat perjanjian dengan Paderi Sophronius, mereka telah bersetuju dengan permintaan paderi Kristian itu bahawa "Tidak ada seorang Yahudi pun yang akan dibenarkan untuk tinggal bersama mereka di Aelia (Baitul Maqdis)". Bagaimanapun, semasa pemerintahan Islam kemudiannya, undang-undang tersebut telah dilonggarkan sedikit dan orang-orang Yahudi diizinkan untuk datang dan tinggal di situ. Selepas penaklukan semula Baitul Maqdis oleh Salahuddin, orang-orang Yahudi sekali lagi diizinkan oleh penduduk Islam untuk kembali dan tinggal di Baitul Maqdis. Sebelum itu, Baitul Maqdis telah diperintah oleh Kristian selama lebih kurang 90 tahun (1099-1187) dan mereka telah mengharamkan penduduk Yahudi dan Islam untuk tinggal di Baitul Maqdis.

Penutup

Bandar Baitul Maqdis amat penting bagi umat Islam, yang mempunyai hak ke atas Bandar ini dari sudut agama, sejarah dan perundangan. Terdapat tiga fakta penting untuk kita ingati mengenai Islam dan Baitul Maqdis.
  • Di dalam sejarah Baitul Maqdis, sejak zaman Nabi Dawud a.s sehingga ke hari ini, pemerintahan yang paling lama adalah pemerintahan Islam.

  • Umat Islam mengekalkan kesucian Baitul Maqdis sehingga tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.

  • Umat Islam mewujudkan dan mengamalkan karakter agama yang penuh toleransi dan keimanan terhadap Baitul Maqdis.


Dr. Muzammil H.Siddiqi, mantan Presiden Persatuan Islam Amerika Utara.
 


 |    |    |